Share:

CUBA mengajar orang lain untuk memperbetulkan kesalahan, tapi cara teguran disampaikan juga tidak betul dan tidak berhikmah. Seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Mungkin itu yang boleh disimpulkan daripada sebuah video yang tular di media sosial sejak semalam ini.

Video berdurasi 15 saat itu memperlihatkan seorang lelaki muda memarahi dua warga emas di sebuah masjid di Kuala Lumpur.

Menurut cerita si pemilik video, Lisza Laressa, dia dan ibu bapanya ketika itu menumpang berteduh di masjid berkenaan kerana hujan lebat.
Namun kerana dia tidak bertudung, dia dihalau atas alasan tidak menghormati masjid.

Pengguna media sosial bernama Lisza Laressa ini mencritakan semula insiden tersebut, yang didakwanya telah ditegur secara kasar.

DIa mengakui kesalahannya yang tidak mengenakan tudung, namun Lisza terkilan kerana ibu dan bapanya juga turut terkena tempias kemarahan lelaki itu.

Video yang telah menerima lebih 800,000 tontonan itu turut menerima lebih 2,000 komen, dengan rata-rata netizen cukup marah dengan tindakan lelaki muda itu.

Kata mereka, niat mahu menegur bukan lesen untuk berkelakuan kurang ajar, apatah lagi membabitkan warga emas.

Jika benar si lelaki muda itu benar-benar mahu mempertahankan kehormatan masjid sehingga tidak membenarkan wanita tidak bertudung menumpang teduh, dia sepatutnya terlebih dahulu mengamalkan konsep hormat-menghormati sesama manusia, yang merupakan asas dalam ajaran Islam.

Video yang dimuat naik petang semalam itu telah menerima lebih 12 ribu 'LIkes'.

Sumber: Astro Awani

Share: