Share:

SINGAPURA: Dua pengamal media Korea Selatan dibebaskan dan dihantar pulang selepas ditahan kerana menceroboh kediaman Duta Korea Utara di Singapura, kata polis pada Ahad.

Kedua-dua lelaki yang bertugas dengan berita Sistem Penyiaran Korea (KBS) didakwa melakukan kesalahan jenayah dan telah ditahan pada Khamis lalu.

Menurut polis dalam satu kenyataan, pengamal media berusia 42 dan 45 tahun itu diberi amaran tegas sebelum dibebaskan sejurus sebelum pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un mendarat di negara itu.

Namun, dua lagi lelaki bersama mereka iaitu kakitangan KBS dan penterjemah kumpulan itu didapati tidak bersalah.

Sepanjang sidang kemuncak itu berlangsung, kawalan keselamatan ketat dikenakan sehingga menutup sebahagian besar pusat banda raya itu.

Memetik laporan antarabangsa, polis turut menegaskan kepada mana-mana wartawan agar tidak melanggar undang-undang Singapura sekiranya ingin diiktiraf dan dibenarkan membuat liputan sidang kemuncak itu.

Kira-kira 3,000 petugas media kini berada di negara itu bagi membuat liputan sidang kemuncak antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Kim Jong Un pada Selasa depan.

Sidang kemuncak di antara Trump dan Jong Un bakal diadakan pada 12 Jun bagi memulakan proses menamatkan program nuklear Korea Utara.

Terdahulu, Jong Un disambut Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan saat tiba di Singapura pada Ahad.

Beliau juga telah bertemu Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

BACA: Kim Jong Un tiba di Singapura untuk sidang kemuncak bersejarah

BACA: Kim Jong Un berlepas ke Singapura guna jet peribadi

Sumber: Astro Awani

Share: