Share:

SINGAPURA: "Selamat berjaya", itulah ucapan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sempena Sidang Kemuncak 'damai nuklear' yang akan diadakan di Hotel Capella di sini, pada Selasa ini.

Lee juga menzahirkan harapannya agar sidang kemuncak itu akan memajukan lagi prospek keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea serta rantau yang lebih besar, kata Kementerian Luar Singapura dalam kenyataan hari ini selepas pertemuan kedua-dua pemimpin itu di Istana di sini.

Kim tiba di Singapura pada tengah hari tadi dengan pesawat Air China.

Pada pertemuan pertama itu, Lee dan Kim membincangkan tentang hubungan Singapura-Korea Utara, perkembangan di Korea Utara dan serantau termasuk perkembangan positif yang berlaku di Semenanjung Korea baru-baru ini.

"Perdana Menteri Lee memuji keputusan berani dan mengagumkan Pengerusi Kim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk bersama-sama menghadiri sidang kemuncak ini," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Kim juga mengucapkan terima kasih kepada Lee kerana menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak itu.

Pertemuan Lee dan Kim turut disiarkan secara langsung melalui Facebook rasmi perdana menteri Singapura itu.

"Seluruh dunia memberi tumpuan kepada sidang kemuncak bersejarah ini … terima kasih atas usaha yang ikhlas ini … kami dapat menyiapkan persediaan bagi sidang kemuncak bersejarah ini dan saya ingin mengucapkan terima kasih untuk itu," kata Kim kepada Lee melalui seorang jurubahasa.

"Saya menjangka (sidang kemuncak) ini akan menghasilkan kejayaan," kata Kim.

–BERNAMA

Sumber: Astro Awani

Share: