Share:

NIBONG TEBAL: Sepasang suami isteri maut selepas lori yang dinaiki mereka sekeluarga merempuh sebuah lori lain di Kilometer 154.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, dua anak pasangan terbabit, masing-masing berusia lapan dan empat tahun turut cedera akibat tersepit di dalam kenderaan yang remuk.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Rosmaidi Baharuddin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.33 petang sebelum 24 anggota dari Balai Sungai Bakap dan Perai dikejarkan ke lokasi kemalangan.

“Dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala dua mangsa kanak-kanak cedera.

“Turut cedera seorang pemandu lori yang dirempuh mangsa dengan semua mereka dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Difahamkan, kejadian berpunca apabila pemandu lori itu gagal memberhentikan kenderaannya ketika berlaku kesesakan di laluan berkenaan.

Sumber: Berita Harian

Share: