Share:

SUNGAI PETANI: Pasangan suami isteri bersama anak perempuan berusia tiga tahun, maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Tikam Batu-Kota Kuala Muda, berhampiran Kampung Permatang Pasir di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam itu ketika Che’ Azemi Idris, 60, menunggang motosikal jenis Honda EX5 dengan membonceng isteri, Fatimah wati Ishak, 46, dan anak tirinya, Nurraisya Hanaa Abdullah, dari arah Kota Kuala Muda menghala Tikam Batu.

Ketika kejadian tiga beranak itu dikatakan baharu selesai beriadah di Pantai Merdeka dan dalam perjalanan untuk pulang ke Bukit Selambau, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa, berkata berdasarkan maklumat kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis PERODUA Bezza dari arah Tikam Batu dikatakan memasuki laluan bertentangan untuk memotong sebuah kenderaan lain, namun bertembung dengan motosikal dinaiki tiga beranak itu.

“Akibat pertembungan itu ketiga-tiga mangsa tercampak dan mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan sebelum masing-masing disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat,” katanya.

Md Zukir berkata, polis turut mengambil keterangan saksi berhubung kejadian itu dan pemandu kereta berusia 29 tahun berasal dari Bukit Mertajam di Pulau Pinang, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.


KEADAAN motosikal yang dinaiki sepasang suami berusia 40 dan 50 tahun yang maut bersama cucu perempuan berusia tiga tahun selepas dirempuh kereta di Kampung Permatang Pasir di Sungai Petani kira-kira jam 7.30 petang tadi. – Foto Omar Osman

Sumber: Berita Harian

Share: