Share:

GEORGETOWN: Polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mangsa skim piramid Mface Club yang bertapak di kompleks beli-belah di negeri ini, kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye

Sehubungan itu, beliau meminta pelabur yang terbabit dengan skim piramid itu dinasihat segera membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Katanya, ia bagi memastikan siasatan kes terbabit dapat dijalankan, sekali gus dapat menumpaskan skim pelaburan itu.

“Setakat ini, kita hanya menerima enam laporan daripada mangsa yang terbabit dengan skim pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR), ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ihya Ramadan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, sebentar tadi.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) membekukan 91 akuan bank bernilai RM177 juta, selepas melumpuhkan Mface Club, yang bertapak Pulau Pinang dan Kuala Lumpur dengan siasatan mengikut Akta Jualan Langsung dan Skim Anti Piramid 1993.

Selain itu, pelbagai barangan berharga termasuk jongkong emas turut dirampas dengan semua aset terbabit dibekukan atas kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagaimanapun, tiada tangkapan terhadap individu yang mendalangi skim piramid berkenaan tetapi sudah mempunyai dokumen serta bukti bagi mendakwa mereka di mahkamah, selain siasatan lanjut ke atas barangan berharga sedang dilakukan.

Difahamkan, modus operandi sindiket berkenaan ialah menawarkan enam pakej pelaburan bermula serendah AS$100 (RM428) hingga mencecah AS$5,000 (RM21,405) berbentuk wang pengiklanan untuk paparan dalam laman internet.

Peserta pelaburan dijanjikan ganjaran berbentuk mata, berdasarkan berapa ramai yang melihat iklan berkenaan, manakala mata yang diperoleh boleh digunakan bagi pembelian barangan dan saham yang ditawarkan sindiket itu.

Sumber: Berita Harian

Share: