Share:

KUALA LUMPUR: Seorang remaja ditahan selepas didapati membuat laporan palsu kononnya disamun sekumpulan penjenayah di hadapan restoran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Suspek lelaki berusia 19 tahun itu membuat laporan di balai Polis Dang Wangi kira-kira jam 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman, berkata suspek menipu bagi mengelak didenda kerana kehilangan kad pengenalan.

“Remaja itu mendakwa disamun oleh tujuh hingga lapan lelaki ketika di lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun, keterangan remaja didapati meragukan ketika disoal siasat.

“Apabila dibawa semula ke lokasi itu bagi menceritakan semula kejadian, dia akhirnya mengaku membuat laporan palsu kerana mahu mengelak membayar denda kehilangan kad pengenalan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

“Remaja itu boleh dikenakan hukuman enam bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share: