Share:

TANGKAK: Polis menembak mati tiga penjenayah di persimpangan lampu isyarat Kampung Parit Bunga di sini, jam 9.50 pagi tadi.

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya ketiga-tiga suspek terbabit dalam kes samun membabitkan mangsa yang baru mengeluarkan wang dari bank dan dipercayai turut mempunyai kaitan dengan kumpulan di Kelantan yang ditumpaskan baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata pagi tadi pihak polis menerima maklumat daripada orang ramai ada sebuah kereta jenis BMW dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, susulan itu pasukan polis yang membuat rondaan cegah jenayah kemudiannya dimaklumkan mengenai maklumat berkenaan dan terserempak dengan kereta terbabit di kawasan lampu isyarat di Kampung Parit Bunga di sini.

“Pihak polis kemudian mengarahkan kereta terbabit supaya berhenti tetapi secara tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dilepaskan dari dalam kereta suspek. Polis kemudiannya membalas tembakan untuk mempertahankan diri dan dapat menembak mati ketiga-tiga suspek berkenaan.

“Selepas diperiksa didapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang identiti dan mereka dianggarkan berusia antara 30 hingga 40 tahun. Pihak polis juga masih giat melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti semua suspek,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.


ANGGOTA polis mengangkat mayat penjenayah yang mati ditembak polis di persimpangan lampu isyarat Kampung Parit Bunga, Tangkak, jam 9.50 pagi tadi. – Foto Adi Safri

ANGGOTA polis memeriksa kenderaan yang dinaiki tiga penjenayah di persimpangan lampu isyarat Kampung Parit Bunga, Tangkak, jam 9.50 pagi tadi. – Foto Adi Safri

Sumber: Berita Harian

Share: