Share:

Siapa yang tidak terkejut dengan berita tentang sitaan 4 kontena daging kambing yang dilaporkan bercampur dengan daging babi dalam masa beberapa hari lepas.

Bukan sahaja mengejutkan, situasi tersebut turut membangkitkan keresahan, kemarahan dan juga kerisauan di kalangan semua masyarakat Islam khususnya.

Ini kerana daging kambing merupakan antara menu popular dan menjadi pilihan makanan sehari-hari selain daging ayam, lembu dan juga ikan.

Bayangkan pula 4 kontena itu yang boleh meliputi beribu-ribu orang pengguna. Siapa yang tidak risau?

Seperti biasa jika ada berita tentang status halal dan haram menjadi tular, pihak Hab Halal, Jakim akan memberikan penjelasan.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, bahagian Hab Halal ini berkata seperti berikut:

“Perlu diketahui bahawa syarikat pengimport produk tersebut bukanlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Rentetan kes ini, syarikat tersebut turut berdepan tindakan undang-undang kerana menggunakan logo halal Malaysia tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.

“Justeru, JAKIM mengalu-alukan tindakan pihak MAQIS demi memastikan produk daging yang masuk ke negara ini sentiasa mematuhi peraturan dan perundangan yang telah ditetapkan.”

Bagi pengguna pula mereka disarankan untuk bertindak bijak dengan mengutamakan produk yang ada Sijil Halal Malaysia atau pun Logo Halal Luar Negara yang diiktiraf Jakim.

“Untuk mengetahui status halal produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia serta logo halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM, layari direktori halal di www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar MyJakim.”

Terbaru, dilaporkan hanya pihak Maqis menafikan 70 kontena sudah terlepas membawa campuran daging babi dan kambing ini.

Nampaknya, bukan sahaja masyarakat yang berasa gusar, namun peniaga-peniaga yang menjual daging kambing dan juga pengusaha restoran dengan menu kambing bakar pun terjejas dengan situasi ini. Ada juga pihak yang mula menyalahkan badan seperti polis, kastam, imigresen dan sebagainya.

Apa pula pendapat anda?

Share: