Share:

CHUKAI: “Semalam, saya sempat bergurau dengan cucu dan anak saya itu, tetapi tidak sangka hari ini mereka pergi meninggalkan kami semua”.

Demikian kata Pengarah Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kapten Zainol Abidin Jusoh, yang kehilangan anak perempuannya, Fatimah Al Zahrah, 32 dan cucu, Al Fateh Mohd Shahrulnizam, tiga tahun, dalam kemalangan jalan raya.

Kemalangan di Kilometer 264.1, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Perasing, di sini, kira-kira jam 1.15 tengah hari itu turut menyebabkan menantu Zainol Abidin, Mohd Shahrulnizam Alias, 32, cedera ringan, manakala cucu sulungnya, Al Faris, enam tahun, patah peha dan kaki kiri.

Zainol Abidin berkata, beliau dan arwah anaknya sekeluarga dalam perjalanan ke Shah Alam, Selangor, selepas selesai bercuti di Pulau Redang sejak dua hari lalu.

“Kami bercuti di Pulau Redang selama dua hari sempena cuti umum dan ingin meneruskan percutian di rumah anak saya itu di Damansara.

“Kami berkonvoi dan kereta saya mengekori kereta PROTON Saga BLM dipandu menantu di depan.

“Namun, jarak kami kemudian agak jauh sebelum saya menerima panggilan telefon memaklumkan anak dan cucu terbabit dalam kemalangan.

“Saya memecut dan apabila sampai di lokasi, mereka sudah meninggal. Namun, kami reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Kemaman, di sini, hari ini.

Zainol Abidin berkata, jenazah anak dan cucunya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kuang, di sini, malam ini.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Sharulnizam terbabas dan merempuh penghadang lebuh raya.

Sumber: Berita Harian

Share: