Share:

PORT DICKSON: Seorang penuntut kolej swasta maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 17.6 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, berhampiran Plaza Tol Lukut di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, Jailani Sufni, 20, dalam perjalanan dari arah Seremban ke Kolej UNITI di Pasir Panjang di sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Adzli Abu Shah, berkata siasatan awal polis mendapati mangsa terjatuh selepas motosikalnya terbabas di tempat kejadian.

“Mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa berasal dari Kampung Damai Kuang, Rawang, Selangor, manakala kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Berita Harian

Share: