Share:

SEREMBAN: Seorang Penolong Pegawai Pertanian di Pusat Pertanian Hortikulatur Sendayan di sini, yang dipercayai menggunakan kedudukannya dengan memberi projek kepada suami, direman selama enam hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Siti Huzaifah Abdul Talib selepas permohonan dikemukakan oleh Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khairul Ikhsan.

Tahanan reman itu membolehkan SPRM menjalankan siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 terhadap wanita berusia 34 tahun itu.

Suspek yang memakai baju kurung berwarna hitam, tiba di mahkamah pada jam 8.30 pagi sebelum permohonan reman dibuat pada jam 11.30 pagi.

Dia ditahan oleh SPRM kira-kira jam 11.25 pagi semalam.

Suspek dipercayai menggunakan kedudukannya melantik suaminya untuk melaksanakan projek menyelenggara Sistem Pengairan Projek Herba serta Nurseri Herba, Pusat Pertanian Sendayan masing-masing berjumlah RM10,100 dan RM19,900, pada Ogos 2016.

Sumber: Berita Harian

Share: