Share:

GEORGETOWN: Seorang kakitangan awam adalah antara 31 individu yang ditahan selepas dipercayai menyalahgunakan dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini, pagi tadi.

Dalam serbuan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut pada jam kira-kira 4 pagi itu, empat wanita warga asing turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, berkata semua individu berusia 18 hingga 46 tahun terbabit asyik berhibur dan tidak menyedari kehadiran polis ketika diserbu.

“Mereka yang ditahan adalah 19 lelaki dan 12 wanita warga tempatan bersama empat wanita warga Indonesia dan Thailand yang dipercayai berada dalam pengaruh dadah.

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati mereka positif dadah jenis morfin, amphetamine, methamphetamine dan ketamin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mior Faridalatrash berkata, polis turut merampas sejumlah dadah jenis ketamin, ganja dan pil ecstasy dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Berita Harian

Share: