Share:

Sayu bila mengikuti perkembangan berita mengenai pelajar yang koma akibat didera di sebuah madrasah. Inilah pentingnya peranan ibu bapa untuk memastikan keadaan anak-anak dalam keadaan baik semasa berada di asrama mahupun tempat yang sejenis dengannya.

Setiap aduan anak-anak, kena ambil perhatian. Ya, kita memang perlu tegas dengan anak-anak tapi kalau ada sesuatu yang tidak ‘selesa’ pada mereka kita wajar untuk ambil tindakan.

Bertindaklah sebelum terlambat sebagaimana yang dilalui oleh pelajar ini. Memetik sumber info, kakinya dipotong selepas didakwa didera bulan lepas.

Pelajar berkenaan sebelum ini telah menulis pengalaman itu di dalam diarinya. Ibu saudaranya, Dzuraidah Ahmad, 38, berkata anak saudaranya itu sebelum ini mengadu dipukul.

“Anak saudara saya berkata kadang-kadang, dia dan rakan akan sukarela untuk dipukul terlebih dahulu kerana mereka mahu tidur awal memandangkan mereka perlu bangun pada jam 3 pagi untuk sembahyang,” dakwanya.

Katanya lagi, keluarga telah menemukan diari pelajar itu yang menceritakan tentang azab yang terpaksa ditempuhinya.

“Anak saudara saya menulis dia ditumbuk tanpa sebarang sebab dan tidak lagi mampu bertahan dari penderaan, dan mahu bertukar ke sekolah lain,” kata Dzuraidah Said kepada The Star Online.

Dalam satu entri, budak lelaki itu menulis beliau dipukul di bahagian punggung selepas diberitahu oleh pembantu warden untuk mencuci beberapa cawan.

“Wahai Allah, tolong bukakan hati ibu bapaku untuk membenarkanku bertukar ke sekolah lain kerana aku tidak tahan lagi. Tolong, Allah, buatkan hasratku menjadi kenyataan,” tulis pelajar itu sebagaimana yang diberitahu.

Pelajar itu kini berada dalam keadaan koma dan doktor sedang merawat untuk memberhentikan darah bekunya dari menjadi lebih teruk.

Sumber: Ammboi

Share: