Share:

KUALA LUMPUR: Kerugian melebihi RM98 juta membabitkan 324 kes penipuan pelaburan haram direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, setakat Januari lalu hingga kini.

Menerusi statistik dikeluarkan jabatan itu hari ini, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 98 kes, diikuti Kuala Lumpur (44), Pulau Pinang (42), Johor (23) dan Kedah (16).

Bagaimanapun, Johor mencatatkan jumlah kerugian tertinggi dengan RM27.1 juta, diikuti Pahang (RM23 juta), Selangor (RM17 juta) dan Pulau Pinang (RM16.4 juta).

Jumlah kerugian yang tinggi walaupun jumlah kesnya lebih rendah seperti yang berlaku di Johor bergantung kepada jenis pelaburan serta jumlah pelaburan yang dilaburkan dalam skim pelaburan disertai mangsa.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata walaupun pihak polis dan media sering mendedahkan mengenai kegiatan penipuan membabitkan skim pelaburan yang mencurigakan, masih ramai yang tertipu.

“Orang ramai perlu berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan skim-skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

“Mereka boleh membuat semakan dengan pihak polis atau Bank Negara Malaysia terlebih dulu sebelum menyertai apa saja skim pelaburan untuk memastikan kesahihan skim pelaburan berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, bagi tempoh tahun lalu saja, lebih RM210 juta kerugian dicatatkan akibat penipuan pelaburan haram, membabitkan 1,151 kes dengan jumlah kerugian tertinggi berlaku di Selangor iaitu RM98.3 juta (98 kes).

Katanya lagi, untuk tempoh 2015 pula, sebanyak 408 kes dicatatkan membabitkan kerugian lebih RM70 juta.

Sumber: Berita Harian

Share: