Share:

SEGAMAT: Seorang pekerja di premis menjual perkakasan binaan maut selepas terjatuh di atas lif pemunggah barang dalam kejadian di Jalan Chia Chin Koon, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, mangsa Husin Selamat, 44, dari FELDA Redong 1 dekat sini, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas tergelincir.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa tergelincir dari tingkat satu premis itu sebelum terjatuh di atas bumbung lif berkenaan.

“Pasukan perubatan dari Hospital Segamat yang bergegas ke lokasi kejadian kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

“Kita kemudian meminta bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra di sini, untuk menurunkan mangsa dan dibawa ke hospital berkenaan untuk proses bedah siasat,” katanya di sini, hari ini.

Pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR).

Sumber: Berita Harian

Share: