Share:

JOHOR BAHRU: Dua lelaki warga asing ditahan selepas cuba merasuah anggota polis dalam dua kejadian di sekitar kawasan Johor Bahru Utara di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata kira-kira jam 12 tengah hari tadi, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) terserempak dengan seorang lelaki berusia 30-an dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota MPV berkenaan yang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di zon Tampoi 1 di sini, kemudian menahan lelaki terbabit sebelum membuat pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki warga Bangladesh itu memiliki pasport yang sudah tamat tempoh dan ketika hendak dibawa ke IPD JBU untuk tindakan selanjutnya, suspek cuba memberi rasuah RM90 kepada anggota berkenaan untuk melepaskannya.

“Suspek kemudian ditahan kerana cuba memberi rasuah dan polis turut merampas lima keping wang tunai daripada suspek masing-masing empat keping wang RM10 dan satu keping wang RM50,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata, seorang lagi lelaki warga Pakistan turut ditahan atas kesalahan sama, kira-kira jam 7 petang semalam di Jalan Kebudayaan, Taman Universiti dekat sini.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai buruh binaan ditahan anggota MPV IPD JBU ketika menjalankan tugas rondaan jenayah berhampiran sebuah stesen minyak di kawasan berkenaan.

“Susulan pemeriksaan yang dijalankan mendapati pasport lelaki terbabit turut tamat tempoh dan ketika ditahan untuk dibawa ke IPD JBU suspek memberi rasuah bernilai RM200 kepada anggota berkenaan.

“Lelaki terbabit kemudian ditahan atas kesalahan sama dan turut dirampas dua keping wang masing-masing RM100,” katanya.

Mohd Taib berkata, polis juga akan merujuk kedua-dua suspek kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: Berita Harian

Share: