Share:

GOPENG : Seorang lelaki maut manakala seorang wanita parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabas sebelum merempuh tiang papan tanda di Kilometer (KM) 292.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 4.55 petang, Lim Teong Thang, 53, yang memandu kenderaan jenis Toyota Innova maut di lokasi kejadian manakala penumpangnya, Law Siew Ka, 51 parah.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Pulau Pinang sebelum hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

Katanya, kenderaan yang gagal dikawal itu terbabas sebelum berpusing dan melanggar tiang papan tanda di kiri lebuh raya.

“Akibat kemalangan itu, pemandu tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat yang dijangka akan dijalankan pada malam ini.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut manakala sampel darah mangsa yang maut diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share: