Share:

GEORGETOWN: Polis menahan enam lelaki termasuk seorang remaja bawah umur bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan membunuh menggunakan senjata api di Jalan Satu, Air Itam, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid, berkata semua suspek yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 55 tahun.

“Hasil siasatan semua suspek berjaya ditahan di lokasi berasingan di sekitar kawasan Datuk Keramat dan Air Itam.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian pada 9.50 malam, seorang lelaki terselamat walaupun mangsa cuba ditembak dari jarak dekat.

Ketika kejadian, mangsa yang juga seorang sami sedang menyiram pokok bunga di halaman rumahnya sebelum dihampiri seorang penunggang motosikal yang melepaskan tiga das tembakan.

Sumber: Berita Harian

Share: