Share:

KUCHING: Polis kini giat memburu 14 lelaki bagi membantu siasatan terhadap kes pembunuhan seorang ahli perniagaan di Jalan Wong King Huo, Sibu, Khamis lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata, polis menyenaraikan 17 suspek utama dalam kes itu dengan tiga daripada mereka sudah ditangkap dan kini direman.

Beliau berkata, polis juga sudah mengenal pasti identiti 14 suspek terbabit dan turut menasihatkan mereka supaya menyerah diri secepat mungkin.

“Polis kini sedang memburu mereka dan yakin mereka akan ditangkap dalam masa terdekat.

“Lebih elok jika mereka menyerah diri kerana tiada lagi ruang untuk mereka melarikan diri,” katanya selepas Perbarisan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Khamis lalu, seorang ahli perniagaan Clement Tan Teck Howe, 29, yang sedang minum bersama rakan-rakannya di sebuah kedai kopi di Jalan Wong King Huo, didatangi dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 22 tahun yang dikatakan dalam keadaan marah dan tercetus pertengkaran antara mereka.

Pertengkaran itu akhirnya mencetuskan pergaduhan sehingga menyebabkan mangsa dipukul sehingga pengsan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan tetapi meninggal dunia kira-kira jam 5.22 pagi.

Mazlan berkata, pergaduhan dipercayai berpunca daripada salah faham semasa perbualan antara dua pihak itu menggunakan aplikasi WeChat.

Sumber: Berita Harian

Share: