Share:

KOTA KINABALU: Kerajaan sedang fikirkan mekanisme terbaik yang akan dilaksanakan untuk tidak menerima perokok masuk ke dalam Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM).

Setiausaha Bahagian Pengurusan Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Kolonel Bersekutu (Pertahanan Awam) Ellam Endin Nom berkata, perkara berkenaan bagaimanapun masih dalam perancangan awal buat masa ini.

“Cadangan untuk tidak menerima calon yang merokok ke dalam kolej masih dalam perbincangan di peringkat kementerian berikutan ia membabitkan banyak pihak sehingga ke pihak atasan.

“Tapisan untuk seorang perokok juga bukan semudah yang disangkakan kerana selepas menghabiskan pembelajaran di peringkat sekolah menengah, kita tidak tahu bagaimana latar belakang sebenar seseorang individu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pentauliahan Pasukan Institusi Pertahanan Awam (PISPA) ILKKM Zon Sabah 2017 di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, di sini, kelmarin.

Ellam berkata, perkara itu perlu diteliti secara mendalam berikutan petugas kesihatan perlu dididik dengan berdisiplin serta menjauhi rokok seiring dengan tanggapan umum bahawa merokok membahayakan kesihatan.

“Untuk itu, kita perlu laksanakan tindakan terbaik termasuklah cadangan untuk membuat tapisan awal dan jika boleh calon yang merokok tidak akan diterima masuk ke dalam kolej.

“Cadangan lain yang dinyatakan setakat ini ialah dengan memberikan rawatan terhadap calon yang layak bagi memberhentikan calon terbabit daripada terus menjadi seorang perokok,” katanya.

Tambahnya, mekanisme berkenaan antara lain bagi menambah baik peraturan sedia ada di ILKKM.

“Bagi Peraturan Khusus yang terkandung dalam Perkara 5 di Bahagian C Kelakuan dan Tatatertib memperuntukkan pelatih yang dibuktikan merokok atau memiliki bahan rokok, vape atau shisha, walaupun berada di luar institusi latihan, akan dikenakan tindakan tatatertib,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Angkatan Ibu Pejabat Pertahanan Awam Malaysia Leftenan Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim berkata maljis pentauliahan itu diadakan secara berkala di seluruh negara.

“Pada majlis ini, seramai 136 pelajar ILKKM di Kota Kinabalu dan Sandakan berjaya ditauliahkan selepas 331 pelajar di Zon Timur pada Februari lalu.

“Setakat ini, keanggotaan pelatih APM membabitkan KKM adalah seramai 2,939 anggota kadet dan 400 daripada jumlah terbabit adalah anggota kadet di Sabah yang akan menjadi Staf Muda Pertahanan Awam sebaik ditauliahkan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga menyasarkan pendaftaran anggota baharu sekurang-kurangnya satu platun setiap kolej membabitkan 33 anggota.

Tambahnya, 29 daripada 33 kolej KKM di seluruh negara sudah menyertai PISPA dan selepas ini, seramai 540 anggota di Semenanjung Malaysia dan 140 di Sarawak akan ditauliahkan sepanjang tahun ini.

Sumber: Utusan Borneo

Share: