Share:

MUAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 38 tahun terhadap seorang penyelia kilang selepas mengaku bersalah ke atas dua pertuduhan pilihan menyebabkan kematian dua wanita pada 2013 dan 2015.

Pesuruhjaya Kehakiman Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap V Siva, 35, selepas membuat pengakuan bersalah itu di atas pertuduhan dibacakan jurubahasa ke atasnya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa pada 25 Ogos 2015, kira-kira jam 12.30 tengahari beralamat di Taman Desa, Kluang dekat sini melakukan membunuh S Chitra, 34, yang juga kenalannya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa pada 11 Julai 2013 antara jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi di sebuah rumah di Taman Koperasi, Kluang dekat sini, membunuh G Danata Ketchumy, 82, yang juga nenek kepada isterinya.

Tertuduh didakwa mengikut pertuduhan pilihan bagi kedua-dua kes mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Pihak pembelaan yang diwakili V Ramesh; B Mariammah dan V Aneeta kemudian memohon kepada mahkamah supaya meringankan hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh berikutan pengakuan bersalah itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain memohon kepada mahkamah supaya hukuman berat dikenakan kerana kesalahan dilakukannya amat serius dan mengambil kira kepentingan masyarakat.

Atas alasan sama, Muhammad Shukri turut memohon kepada mahkamah supaya hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh dilaksanakan secara berasingan.

Muhammad Jamil kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun bagi pertuduhan pertama dan hukuman penjara 20 tahun bagi pertuduhan kedua.

Muhammad Jamil juga memerintahkan setiap hukuman dilaksanakan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 26 Ogos 2015.

Sumber: Berita Harian

Share: