Share:

AYER KEROH: Seorang penoreh getah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memijak, menendang dan memukul anaknya yang berusia sembilan tahun sehingga cedera.

Mohd Harizan Itai, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiaya anak kandung lelakinya sehingga cedera dengan menumbuk di mulut, memijak paha kiri dan memukul kepala serta pinggang sehingga berdarah.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Kampung Batu Nyalas, Asahan di Jasin, jam 7.20 malam, 3 Februari lalu.

Tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N Sivashangari, manakala tertuduh diwakili peguam, Sulaiman Harmain Shah.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Ahmad Sazali membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Berita Harian

Share: