Share:

JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang lelaki selepas mengaku bersalah menceroboh kawasan Istana Bukit Serene, di sini, minggu lalu.

Tertuduh, Rosman Jasman, 35, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menceroboh masuk kawasan istana berkenaan tanpa kebenaran kira-kira jam 7.25 malam, pada 17 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara itu bermula dari tertuduh ditahan pada 17 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: Berita Harian

Share: