Share:

KOTA KINABALU: Pe-suruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata semua pasukan dan anggota keselamatan berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan penyusupan masuk kumpulan militan atau penduduk dari selatan Filipina ke Sabah.

Beliau berkata kesiapsiagaan pasukan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah sudah pun dipertingkatkan bagi menghadapi kemungkinan berkenaan, berikutan pengisytiharan undang-undang tentera di Mindanou oleh kerajaan Filipina.

“Setakat ini keadaan terkawal,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi melalui Aplikasi WhatsApp di sini hari ini, sebagai mengulas perkembangan terbaharu yang berlaku di selatan Filipina.

Kelmarin, Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di Mindanou selepas tercetus pertempuran antara tentera kerajaan Filipina dan kumpulan militan di bandar raya Marawi.

Ekoran perkembangan itu juga, presiden Filipina yang sedang melawat Rusia telah memendekkan tempoh lawatannya di negara berkenaan. — Bernama

Sumber: Utusan Borneo

Share: