Share:

TAIPING : Seorang lelaki maut manakala bapanya cedera selepas kereta mereka naiki terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Taman Hijrah, Batu 16 Batu Kurau, di sini petang tadi.

Dalam kemalangan jam 5.30 petang, lelaki yang berusia lingkungan 20-an itu maut di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian manakala bapanya 50-an cedera.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting, Wan Abu Osman Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.45 petang sebelum pegawai dan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, seorang daripada mangsa berada di bawah kenderaan terbabit dan pemeriksaan lanjut mendapati beliau sudah meninggal dunia.

“Mangsa seorang lagi dipercayai bapanya cedera dan dikeluarkan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak paramedik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Sumber: Berita Harian

Share: