Share:

PADANG BESAR: Sebanyak 18,700 paket minyak masak bersubsidi satu kilogram yang cuba diseludup ke negara jiran dirampas Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Perlis, di Jalan Ulu Pauh – Padang Besar, di sini, pagi tadi.

Komander AKSEM Perlis, Superintendan Syed Basri Syed Ali, berkata dalam rampasan itu jam 7.30 pagi, empat lelaki warga tempatan berusia 24 hingga 39 tahun membabitkan pemandu dan kelindan dua buah lori turut ditahan ketika melalui sekatan jalan.

“Pemeriksaan ke atas dua buah lori tiga tan mendapati masing-masing membawa muatan 550 kotak berisi minyak masak dengan setiap kotak berisi 17 paket.

“Siasatan awal, jumlah keseluruhan 18,700 paket bernilai RM46,750 serta dua buah lori dirampas yang menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM156,750,” katanya pada sidang media di Pejabat AKSEM Chuping, di sini.

Syed Basri berkata, semua suspek gagal mengemukakan dokumen kebenaran eksport selepas diminta sebaliknya memberikan resit bertulis tangan.

“Kami percaya ada individu lain turut terbabit dalam cubaan menyeludup barangan kawalan itu ke negara jiran manakala semua suspek dipercayai menerima upah dari pihak tertentu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share: