Share:

KUALA KANGSAR : Tiga lelaki terpaksa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar dipercayai terhidu gas amonia selepas sebuah kilang ais di Taman Sri Maju, di sini mengalami kebocoran gas itu tengah hari tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Khairil Anuar Shahruddin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 1.54 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama bantuan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Pasir Putih, Ipoh.

Katanya, sebaik tiba anggota bomba mendapati terdapat kebocoran bahan kimia dipercayai gas ammonia di kilang berkenaan.

“Tiga daripada mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital berikutan terhidu gas berkenaan untuk rawatan lanjut.

“Anggota HAZMAT bertindak memakai pakaian keselamatan sebelum membuat tampalan pada kompresor yang mengalami kebocoran itu sebelum membilas kawasan berkenaan menggunakan air untuk meneutralkan semula kawasan yang tercemar akibat bahan kimia berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, sebaik operasi pembersihan selesai dijalankan, pihaknya menyerahkan kawasan itu kepada pihak penyelenggaraan syarikat kilang terbabit untuk tindakan selanjutnya.

“Bagi mengelakkan anggota bomba terdedah kepada bahan kimia itu, kami membilas pakaian dan peralatan yang digunakan dalam operasi berkenaan sebelum menamatkan operasi pembersihan pada jam 6.31 petang tadi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share: