Share:

BUTTERWORTH: Sebanyak 230 saman dikeluarkan polis atas pelbagai kesalahan trafik dalam Ops Samseng Jalanan yang diadakan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), bermula petang semalam hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Azmi Adam, berkata dalam operasi itu, polis memeriksa 510 kenderaan yang melalui kawasan itu.

“Daripada pemeriksaan yang dijalankan, terdapat beberapa kesalahan trafik dikesan antaranya menunggang tanpa lesen, tiada cukai jalan dan nombor pendaftaran, mengubahsuai motosikal dan lesen tamat tempoh.

“Daripada 510 kenderaan yang diperiksa, kita menyita 35 motosikal untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, seramai 60 anggota terbabit dalam operasi hampir 10 jam itu dengan bantuan enam pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan empat penguat kuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Azmi berkata, JAS turut mengeluarkan 17 saman terhadap penunggang motosikal kerana mengeluarkan bunyi bising.

Sumber: Berita Harian

Share: