Share:

KUALA LUMPUR: Dua lelaki termasuk pelajar sebuah kolej swasta ditahan kerana menyamar sebagai anggota tentera dan cuba menceroboh ke Kem Perdana Sungai Besi di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 1.15 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 22 dan 23 tahun menaiki kereta PROTON Saga pada mulanya memberitahu mahu memasuki ke kem berkenaan bertemu kenalan mereka yang didakwa anggota tentera.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata mereka kemudian gagal mengemukakan sebarang dokumen bagi membuktikan identiti ketika pemeriksaan oleh pengawal di Pos Pengawal.

“Pengawal kemudian melakukan pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan dinaiki suspek dan menemui pakaian seragam pegawai tentera.

“Suspek pertama adalah pelajar kolej swasta manakala, suspek kedua tidak bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman tiga hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 16 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Amar berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung motif sebenar kedua-dua suspek menceroboh kem tentera terbabit.

Sumber: Berita Harian

Share: