Share:

JOHOR BAHRU: Polis menahan dua individu dipercayai membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor menerusi akaun Facebook (FB) dan menggunakan akaun palsu untuk menyamar sebagai keluarga Diraja Johor, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata seorang lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai eksekutif operasi ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor petang tadi, dipercayai kerana memuat naik kenyataan jelik itu.

Katanya, seorang pekerja kilang wanita berusia 40 tahun yang dipercayai membuat akaun palsu FB turut ditahan di lokasi sama.

Kedua-kedua mereka ditahan antara jam 3 hingga 4 petang tadi.

“Pada 25 Mac dan 19 Januari lalu, polis Johor menerima dua laporan, masing-masing berkaitan kenyataan jelik yang dimuat naik dalam FB terhadap Sultan Johor dan Institusi Diraja Johor dan satu laporan berkaitan akaun FB yang digunakan bagi tujuan penyamaran.

“Sehubungan itu, dua kertas siasatan dibuka bagi polis menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan individu yang terbabit perbuatan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, selain boleh didenda selanjutnya bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Katanya, satu lagi kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan media sosial.

Sumber: Berita Harian

Share: