Share:

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Zarina Zainoordin, hanya bertahan lapan bulan sebagai penyampai radio kerana dunia berkenaan dianggap sebagai bukan minat utamanya.

Zarina, 32, memilih untuk menamatkan kontraknya lebih awal bersama radio Best FM yang berpangkalan di Johor Bahru pada 1 November tahun lalu.

Bakat yang dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kedua berkenaan menyertai stesen terbabit bagi menggantikan posisi diisi Haiza sebelum itu. Kini, tempatnya digantikan oleh Along Cham.

“Walaupun singkat tempoh perkhidmatan saya bersama mereka, ia tetap pengalaman yang manis. Jika diikutkan, memang saya tidak mahu memikul tanggungjawab berkenaan, namun selepas perbincangan dan atas permintaan pihak di sana, saya cuba juga melakukannya.

“Seboleh-bolehnya saya ingin membantu apabila mereka meminta tolong. Bagaimanapun saya sedar, dunia dan penyampaian radio bukanlah jiwa saya. Sekarang, saya kembali ke profesion asal sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara.

“Rasanya, lebih baik saya tumpukan perhatian kepada bidang yang lebih serasi dengan diri saya daripada melakukan perkara yang bukan menjadi minat utama,” kata Zarina yang akan muncul dengan drama Di Sebalik Wajah, bermula 1 Mei depan, menerusi saluran HyppTV.

Sepanjang bergelar penyampai di radio terbabit, Zarina perlu berulang alik antara JB dan Kuala Lumpur.

“Memang susah untuk saya tinggalkan dunia seni dan hati saya sendiri lebih dekat dengan ibu kota. Malah, ketika bertugas dengan stesen terbabit, ada masanya saya terikat dengan penggambaran drama seperti Lara Cinta Ameena.

“Justeru, saya perlu berulang alik ke lokasi penggambaran setiap hari selepas selesai kerja di konti pada sebelah pagi.

“Pernah juga saya diuji dengan kemalangan jalan raya, Oktober tahun lalu. Tayar kereta pecah menyebabkan kereta gagal dikawal.

“Ketika itu saya dalam perjalanan ke stesen radio dari rumah emak di JB. Mujur tidak ada perkara lebih buruk berlaku pada saya,” katanya.

Selain Zarina, drama Di Sebalik Wajah sepanjang 30 episod itu turut menampilkan Aliff Aziz, Hefny Sahad dan Diana Danielle. Ia disiarkan setiap Isnin dan Selasa, jam 9 malam.

Sumber: Berita Harian

Share: