Share:

KUMPULAN rock legenda, Search, memilih album Fenomena untuk diabadikan dalam bentuk piring hitam kerana ia mempunyai nilai sentimental tersendiri.

Vokalisnya, Amy, 59, berkata, album Fenomena sangat bermakna kumpulan Search kerana pernah menjadi fenomena dalam industri hiburan tanah air satu ketika dulu.

“Album Fenomena dipilih kerana membawa pelbagai tuah dan kejayaan kepada Search apabila turut menjulang nama kami di Indonesia.
"Search dianggap sebagai antara pencetus muzik rock tempatan dan titik permulaan kejayaan kami digerakkan album Fenomena yang diterbitkan oleh Datuk M Nasir.

"Album ini pernah mencatat jualan melebihi 250,000 unit di Malaysia dan lebih dua juta unit di Indonesia. Pencapaian itu meyakinkan kami untuk menerbitkannya semula dalam bentuk piring hitam," ujar vokalisnya, Amy.

Tambah Amy, piring hitam Fenomena ditempah khas dari Amerika Syarikat bagi peminat-peminat yang berminat menjadikan ia sebagai koleksi simpanan mereka.

“Piring hitam Fenomena 'Made In USA' ini dijual secara tempahan pada harga RM299 dan dijangka mula berada di pasaran pada awal Jun depan.

“Idea penghasilan piring hitam tercetus apabila saya bersama pemilik Dream Studio, Datuk Zaharul Annuar melihat semakin ramai penggemar muzik menyimpannya sebagai koleksi.

"Peminat muzik kini kembali kepada trend dulu apabila semakin ramai mula mencari piring hitam untuk dijadikan koleksi. Kami berasakan ini masa yang tepat untuk Search memasarkan album piring hitam untuk dihadiahkan kepada peminat setia," katanya.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman ditemui pada majlis pelancaran piring hitam Fenomena 'Made In USA' di majlis pembukaan kedai Fenomena Muzik di Plaza Damas, pada Sabtu.

Sumber: Astro Awani

Share: