Share:

KUALA LUMPUR: Aktres Zarina Zainuddin memohon maaf jika ada pihak kurang senang dengan tindakannya membuka tudung bagi menjayakan watak dilakonkan.

Zarina, 46, berkata biarpun sedar perbuatannya salah di sisi agama, namun sebagai pelakon yang belum bersara dia terpaksa berbuat demikian bagi menghidupkan watak.

“Sebelum ini, saya pernah jelaskan, walaupun sudah berhijab, mungkin saya membuka tudung bagi sesetengah drama.

“Memang salah cara itu dan kalau nak diikutkan, berlakon juga tetap berdosa biarpun bertudung labuh.

“Maafkan diri ini seandainya ada pihak yang tidak senang melihat saya di kaca televisyen (TV) tanpa tudung bagi sesetengah drama.

“Suami saya pun tidak menggalakkan cara saya ini. Dia juga sudah berpesan, kalau boleh jangan buka tudung. Tindakan ini ialah salah saya sendiri,” katanya yang dihubungi BH Online.

Baru-baru ini Zarina dikecam netizen gara-gara memuat naik foto berambut palsu bagi menjayakan drama rantaian 100 episod, Dendam Aurora.

Ramai yang mengecam pelakon itu kononnya tidak konsisten dalam proses penghijrahannya sejak September tahun lalu.

Berikutan itu, Zarina terpaksa memadam entri terbabit atas permintaan suami yang enggan membiarkan netizen terus menghentam dirinya.

Sementara itu, Zarina terkilan dengan kebanyakan netizen yang memberi komen melampau dalam akaun Instagramnya.

Menurut ibu kepada dua orang anak itu, dia bukanlah individu yang sempurna biarpun sudah berhijrah.

Namun, katanya dia cuba mengubah diri menjadi muslimah yang lebih baik sedikit demi sedikit.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, pendapatan utama saya adalah berlakon. Pada masa sama, perlahan-lahan saya belajar memperbaiki diri dalam menjadi seorang Islam yang lebih baik.

“Berhijrah tidak bermakna saya sudah 100 peratus sempurna,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zarini sedang sibuk dengan penggambaran drama Ku Kirim Cinta bagi slot Akasia TV3.

Sumber: Berita Harian

Share: