Share:

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Farahdhiya menganggap persembahannya di premis hiburan terkenal, Hard Rock Cafe, di sini hujung bulan ini, sebagai hadiah hari jadi cukup bermakna buat dirinya.

Persembahan penyanyi yang terkenal dengan lagu Bertakhta Di Hati itu akan berlangsung pada 30 April, dua hari selepas beliau menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-33.

“Pada awalnya, penganjur Melody United Music, meminta saya mengadakan persembahan pada Mac lalu, tetapi saya mahu ia dianjurkan pada bulan ini. Pastinya, ia menjadi detik cukup istimewa kerana ia bulan kelahiran saya. Tambahan pula ia dilangsungkan selepas dua hari saya menyambut hari lahir.

“Saya memang sangat teruja dengan peluang yang diberikan ini dan ia umpama hadiah hari lahir terbaik pernah saya terima. Bukan selalu kita dapat hadiah seperti ini. Malah, ia juga menjadi pengalaman pertama saya terbabit dengan persembahan sebegini,” katanya.

Farahdhiya yang muncul naib juara program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) berkata demikian ketika ditemui pada sidang media mengenai persembahannya itu, di sini.

Menurutnya, beliau mungkin menyampaikan 17 lagu pada persembahan berkenaan, termasuk secara medley.

“Saya juga akan menyanyikan lagu yang dimuatkan dalam album sebelum ini, yang tidak pernah dimainkan di radio,” katanya yang mengaku perlu menjaga stamina dan mendapat rehat secukupnya menjelang hari persembahan.

Katanya lagi, penyertaan dalam program realiti GV2 turut membuka ruang lebih besar untuknya mencari rezeki di dunia muzik.

“Selepas 13 tahun berkecimpung di arena seni, GV2 menjadi detik bermakna buat kerjaya saya. Kini, saya lebih banyak memberikan tumpuan kepada nyanyian berbanding lakonan, seperti sebelum ini. Saya rasa amat terharu kerana diri ini bagai dihargai kembali,” katanya.

Persembahan itu nanti akan turut menampilkan penyanyi, Kris Patt, sebagai artis undangan. Tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh didapati di www.AirAsiaRedtix.com dan di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.


PENYANYI, Farahdhiya. – Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sumber: Berita Harian

Share: