Share:

KUALA LUMPUR: Calon Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Nabila Razali, 25, melancarkan video muzik bagi single keduanya yang berjudul Cemburu.

Apa yang menarik, video muzik berdurasi kira-kira tiga minit itu menampilkan rakan baiknya, penyanyi Hael Husaini, Indah Ruhaila, Zera Hariz dan Aidil Maula.

Penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF) 2013 itu mengangkat nilai persahabatan dan komedi dalam video muzik terbabit.

“Selepas setahun lagu ciptaan Hael dan Ezra Kong itu dilancarkan dan mendapat sambutan, syarikat rakaman Seventeen Eleven Music bersetuju menerbitkan video muzik.

“Saya memilih konsep video muzik yang ceria dan ringan selain mahu menampilkan sahabat baik iaitu Hael dan Indah,” katanya.

Video muzik terbitan Rio Production itu menjalani penggambaran di Subang dan Putrajaya dalam tempoh sehari saja.

Video muzik itu yang dimuat naik di laman Youtube Seventeen Eleven Music, minggu lalu, sudah mencecah hampir 200,000 tontonan.

“Alhamdulillah, saya tak sangka selepas dua hari dilancarkan, ia sudah mencecah 100,000 tontonan dan trending di YouTube Malaysia.

“Pada awalnya, saya ragu-ragu dan rasa seperti sudah terlewat kerana lagu itu sudah lama di mainkan stesen radio tempatan. Namun, saya bersyukur rata-rata komen yang ditinggalkan positif dan memberi semangat kepada saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nabila sedang menjalani penggambaran drama bersiri Hikayat Cinta Si Pematah Hati bersama penyanyi Alif Satar.

Drama 16 episod itu akan ditayangkan di Astro Ria mulai 24 April depan.


Sumber: Berita Harian

Share: