Share:

Sembilan tahun selepas kematiannya pada usia 28, penonton akan dapat melihat kehidupan pelakon Australia, Heath Ledger, dari sisi yang berbeza menerusi kanta kamera peribadinya.

Filem dokumentari “I Am Heath Ledger” menggunakan arkib video yang dirakam oleh Ledger sendiri berhubung kehidupan dan kerjayanya.

Dokumentari itu dilancar untuk menyambut kejayaan pelakon muda berkenaan yang pernah menarik perhatian dunia Hollywood melalui wataknya dalam filem Brokeback Mountain dan The Dark Knight.

Filem itu juga bertujuan untuk mengatasi persepsi yang berlarutan dalam kalangan masyarakat – yang menyangkakan Ledger mengalami tekanan hidup yang dahsyat.

Pada tahun 2008, berita kematian Ledger mengejutkan dunia Hollywood, kerana disebabkan pengambilan ubat penahan sakit, kebimbangan dan ubat insomnia melebihi dos.

“Dia sangat bahagia dan mencintai kehidupannya. Dia hanya bergelut dengan beberapa 'syaitan' (dalam hidupnya), tetapi dia sepatutnya bergerak ke hadapan, " kata pegawai Hollywood Ledger, Steve Alexander dalam dokumentari itu yang dilancarkan di Festival Filem Tribeca minggu ini.

“Daripada menyentuh mengenai kematiannya pada Januari 2008, filem itu menggunakan arkib video Ledger dan temu bual dengan keluarga dan rakan-rakan terdekat untuk meraikan kehidupan Heath dan untuk menceritakan kisah artis serba boleh ini," kata pengarah dan penerbit, Derik Murray.

Dokumentari ini turut menggambarkan Ledger sebagai seorang pencinta alam yang rindukan pengembaraan, seorang yang murah hati dengan kawan-kawannya, dan seorang yang mempunyai pelbagai bakat.

Sumber: Astro Awani

Share: