Share:

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Farawahida, 32, mengakui sudah lali dengan pertanyaan masyarakat mengenai zuriat, malah tidak pernah terasa mahupun berkecil hati dengan soalan seperti itu.

Meskipun sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga, Farawahida atau nama penuhnya Farawahida Razali, berkata beliau tidak pernah merancang dalam soal menambah anggota keluarga, cuma beliau dan suami, Abdul Shukur Mohd Zain, 33, belum lagi diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata.

“Jujurnya, kami tidak pernah merancang apa-apapun soal anak. Kami berserah saja pada rezeki Allah.

“Biasalah, orang akan bertanya, tetapi saya tidak pernah berkecil hati. Cuma, pada awal perkahwinan dulu, ia ada juga membuatkan saya agak tertekan dengan soalan ‘cepu emas’ sedemikian,” katanya kepada BH Online.

Farahwahida diijabkabulkan dengan ahli perniagaan dari Pulau Pinang itu pada 16 Disember 2013.

Kata penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu itu, beliau mengakui sedikit sunyi tanpa kehadiran cahaya mata, apatah lagi apabila ditinggalkan suami yang perlu bekerja di luar kawasan.

“Siapa yang tidak mahukan anak, bukan? Kadang-kala saya berasa bosan, terutamanya ketika suami ke luar kawasan untuk bekerja, tinggal saya seorang saja di rumah.

“Teringin juga saya nak rasa bagaimana perasaan ibu mengandung. Apapun, saya anggap belum sampai masanya buat kami untuk bermain dengan anak sendiri. Allah lebih tahu bilakah masa sesuai untuk kami memiliki zuriat,” tuturnya.

Sementara itu, Farawahida bakal kembali memeriahkan dunia muzik dengan single baharu berjudul Mengapa Harus Aku, berduet dengan Alyah.

Beliau berharap, kemunculan semula menerusi lagu baharu itu dapat menaikkan kembali namanya seperti zaman kemuncaknya dulu.

Mengapa Harus Aku dijangka bakal dilancarkan pada bulan ini.

Sumber: Berita Harian

Share: