Share:

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, pelakon Dazrin Kamarudin, 29, sah bergelar suami kepada suri pilihannya, Nurfazulin Razalin, 33, yang juga ketua pramugari yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi, kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Razali Din pada upacara yang berlangsung di sebuah hotel di Melaka dengan dihadiri hampir 200 tetamu.

Pada majlis itu, Dazrin turut menyerahkan mas kahwin RM500 bersama tujuh dulang hantaran dengan berbalas 11.

Pasangan pengantin bagaimanapun sepakat merahsiakan jumlah wang hantaran.

“Alhamdulillah selesai sudah majlis ini. Ia fasa baharu untuk saya dan isteri. Insya-Allah, kami akan sama-sama melayari bahtera perkahwinan ini sebaik mungkin. Kami tidak dapat bercuti lama kerana isteri akan kembali memulakan tugasnya di Jeddah.

“Saya pula akan kembali ke lokasi penggambaran drama terbaharu pada 10 Me ini. Mungkin ini dikatakan rezeki perkahwinan kerana saya menerima dua tawaran serentak tetapi, masih belum memutuskan pilihan,” katanya.

DAZRIN Kamarudin kini bergelar suami kepada Norfazulin Razali dengan sekali lafaz. – Foto Khairunisah Lokman

DAZRIN Kamarudin kini bergelar suami kepada Norfazulin Razali dengan sekali lafaz. – Foto Khairunisah Lokman

Bercerita mengenai detik perkenalan mereka, Dazrin berkata, ia tercetus sejak setahun lalu menerusi aplikasi Smule kerana kebetulan berkongsi minat yang sama iaitu menyanyi.

“Selepas menyertai program realiti, Gempak Superstar tahun lalu, pembantu peribadi menyarankan supaya saya memuat turun aplikasi muzik terbabit sebagai ruang untuk berlatih. Menerusi aplikasi itu, saya berpeluang ‘berduet’ dengan isteri.

“Ketika awal perkenalan, isteri langsung tidak mengenali saya sebagai pelakon. Dia juga bijak menyusun permainan untuk memancing hati saya dan sikapnya yang agak kebudak-budakan itu membuatkan saya tertarik mendekatinya.

“Biarpun terpaksa berjauhan sepanjang menjalin percintaan, ia tidak pernah menimbulkan masalah kepada hubungan kami. Saya suka dengan sikap isteri yang bersahaja dan menjadi dirinya setiap kali kami bertemu,” katanya.

Majlis persandingan pasangan itu dijadualkan berlangsung di Melaka Julai depan.

Dazrin dan isteri merancang untuk berbulan madu sama ada di Milan, Itali atau Istanbul, Turki selepas sambutan Aidilfitri nanti.

DAZRIN berkenalan dengan isterinya, Norfazulin sejak setahun lalu menerusi aplikasi Smule kerana kebetulan berkongsi minat yang sama iaitu menyanyi. – Foto Khairunisah Lokman

Share: