Share:

KUALA LUMPUR: Tidak hanya dirasai penggemar setia industri hiburan tempatan, debaran menanti detik kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 pada 15 Mei ini turut dirasai peminat dari negara jiran.

Pernah mengikuti perjalanan detik gemilang itu bersama anak saudaranya di Arena of Stars, Genting Highlands, dua tahun lalu, peminat dari Brunei Darussalam, Awang Noor Hamzari Mohammad, 46, berkata, kehadiran ABPBH begitu dinanti kerana acara itu mempunyai tarikan yang tersendiri.

Keterujaan menanti edisi terbaharu ABPBH lebih dirasai apabila pelakon kegemarannya iaitu gandingan yang mencetus fenomena menerusi drama Suri Hati Mr Pilot (SHMP), Fattah Amin dan Neelofa turut bersaing.

Mengharapkan kedua-dua pelakon itu meraih kejayaan, Awang Noor Hamzari yakin keampuhan populariti Fattah akan membawanya mara sebagai Bintang Paling Popular pada detik penentuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Sudah lama saya mengagumi mereka dan minat terhadap pasangan ini semakin mendalam selepas digandingkan bersama dalam SHMP . Saya akui, baik Fattah mahu pun Neelofa memiliki keistimewaan dan bakat yang tersendiri.

“Mereka juga sentiasa merendah diri dan tidak sombong dengan peminat. Berdasarkan fenomena yang dicipta drama itu dan kejayaan Fattah dalam acara anugerah sebelum ini, saya yakin dia mampu menghampakan pesaing lain bagi merebut gelaran Bintang Paling Popular.

“Seandainya ramalan ini menjadi kenyataan, saya antara kelompok peminat yang bertuah kerana berpeluang meraikan detik gemilang itu bersama Fattah nanti,” katanya.

Awang Noor Hamzari berkata, beliau pernah empat kali bertemu Fattah ketika pelakon itu mengunjungi tanah kelahirannya untuk siri promosi dan beramah mesra bersama peminat.

“Saya juga pernah ke kafe miliknya di Damansara. Saya berharap kesempatan kedua menghadiri dan menyaksikan secara langsung ABPBH 3.0 akan membawa tuah kepada Fattah pada malam itu nanti,” katanya.

Share: