Share:

TANGKAK: Undang-undang berkaitan sistem pengurusan dan pelupusan bahan buangan dan sisa elektrik dan elektronik (E-sisa) akan dikuatkuasakan sebelum akhir tahun depan, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata perincian berhubung perundangan itu masih di peringkat perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan memperkenal beberapa peraturan berkaitan perkara itu.

"Kita akan perkenalkan sistem baharu untuk mengumpulkan semua sisa-sisa bahan buangan dari yang sekecil telefon bimbit hinggalah barangan elektrik dan elektronik yang besar termasuk yang berada di pejabat.
"Jika tidak dikendalikan dengan betul, ia akan mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pengumpulan barangan buangan elektrik dan elektronik isi rumah sempena Sambutan Hari Bumi Sedunia di Dataran Ledang, di sini pada Sabtu.

Turut hadir timbalannya, Datuk Ir Dr Hamim Samuri dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat.

Pada majlis itu, Parlimen Ledang mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records atas kejayaan mengumpul sebanyak 36,144 kilogram sisa barangan buangan elektrik dan elektronik isi rumah.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata seiring dengan perkembangan teknologi, berlaku peningkatan yang ketara terhadap penggunaan barangan elektrik dan elektronik pada setiap isi rumah khususnya telefon bimbit.

"Sekiranya sistem pengurusan sisa barangan buangan elektrik dan elektronik ini tidak dibangunkan segera, ia mampu memberi implikasi besar terhadap manusia dan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata apabila undang-undang berkenaan diperkenalkan, secara tidak langsung mewujudkan industri pengumpulan sisa barangan elektrik dan elektronik sekali gus menjadikan industri baharu di negara ini.

Beliau berkata ketika ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang bekerjasama dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) bagi membangunkan sistem pengurusan E-sisa rumah.

— BERNAMA

Sumber: Astro Awani

Share: