Share:

KUALA LUMPUR: Nasib yang menimpa gadis Belanda bernama Natrah, 67 tahun lalu, menyaksikan kebangkitan besar-besaran orang Melayu dalam mempertahankan maruah agama dan bangsa, demikian menurut penulis buku Puan Sri Fatini Yaakob.

Pernah menghasilkan buku 'Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata', beliau menyifatkan peristiwa Natrah satu takdir Tuhan untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu yang terlalu mengagungkan Barat.

Katanya, sebelum peristiwa itu, orang Melayu dianggap penjajah sebagai satu bangsa yang bodoh dan malas.

"Inilah takdir Allah yang sangat besar terhadap bangsa Melayu. Sekiranya Allah tidak hantar anak mat saleh (Natrah) itu, orang Melayu akan terus menerus memuja mat saleh, dan kita akan lambat lagi merdeka.

"Jadi apabila Allah hantar Natrah, dengan sendiri orang Melayu baru sedar, bahawa mereka telah menghina maruah dan harga diri mereka sendiri," katanya dalam pembentangan Natrah: Imbas Semula Selepas 67 Tahun diadakan di Wisma ITBM di Wangsa Maju di sini hari ini.

Fatini juga mempersoalkan sikap orang Melayu hari ini yang didakwanya kembali 'tidur' selepas bangkit mempertahankan Natrah 67 tahun yang lalu.

Program Pembentangan Natrah: Imbas Semula Selepas 67 Tahun itu dianjurkan bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar).

Turut hadir Pengerusi ITBM, Budiman Mohd. Zohdi dan Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khir Ngadiron

Sumber: Astro Awani

Share: