Share:

"AYUH, saya bersedia berdebat dengan mana-mana pengasas produk kecantikan, pembekal, pengaruh sosial media dan selebriti yang memprosi produk berkaitan!"

Pelatih jurubedah, Dr Amalina Che Bakri mencabar mereka yang mendakwa 'cukup arif' dalam bidang perubatan berkaitan suplemen dan ubat berunsur kecantikan, untuk berdebat dengannya bagi membuktikan kesahihan dan keberkesanan produk mereka.

Cabaran Dr Amalina itu menyusul dari cadangan seorang netizen yang mahu satu saluran diwujudkan bagi membincangkan mengenai perubatan, yang sekali gus memberi pengetahuan kepada umum.

"Di Malaysia ini sepatutnya ada satu saluran yang bercerita mengenai perkara berkaitan perubatan, barulah seronok untuk mendidik rakyat," ujar Afan Shamsuddin di Twitternya.

Dia juga mahu saluran itu mengadakan perbincangan mengenai ubat atau makanan tambahan dalam pasaran dan memberi peluang kepada pengeluar membentangkan produk mereka di depan para doktor.

Dr Amalina pada masa sama meluahkan rasa kecewanya terhadap beberapa selebriti yang mempromosi produk tanpa usul periksa.

Tegasnya, setiap suplemen dan ubat yang diambil perlu mendapat nasihat dari doktor yang bertauliah.

"Tindakan menjual, mempromosi dan mempengaruhi pengguna membeli ubat dan suplemen di atas talian tanpa memikirkan kesan sampingan, adalah tindakan tidak bertanggungjawab," katanya sambil menambah, ia juga salah di sisi undang-undang.

Kenyataan Dr Amalina itu turut mendapat sokongan pakar buah pinggang, Dr Rafidah Abdullah, yang tegar memperjuangkan isu berkaitan penyalahgunaan produk ubatan dan suplemen untuk tujuan kecantikan.

Keprihatinan Dr Amalina mendapat maklum balas positif netizen yang mahu usaha mendidik pengguna berkaitan produk yang digunakan untuk tujuan kecantikan dapat diteruskan.

"Perkara sebegini sepatutnya dibuat sejak dulu lagi," kata salah seorang netizen, Nazreen Bahari.

Sumber: Astro Awani

Share: