Share:

NILAI: Pendebat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengharumkan nama Malaysia apabila muncul naib juara Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa (IUADC) di Doha, Qatar pada Rabu.

Pendebat USIM dibarisi Muhammad Muzakkir Ahmad Dali, Anis Amirah Zakaria, Nur Akma Mohd Dali dan Muhammad Syafiq Suhaimi yang kesemuanya merupakan pelajar jurusan Undang-undang dan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.

Bertanding dalam kategori bukan penutur asal Bahasa Arab bersama 30 pasukan debat universiti dari pelbagai negara, pendebat USIM beraksi cemerlang apabila menang semua perlawanan di peringkat pusingan.

Mereka menewaskan pasukan debat dari Deakin University, Australia, German Europe Institution, Meridian Atuluku, Turki, Universiti Islam Indonesia dan University of Real Madrid.

Di peringkat akhir, mereka bertemu pendebat dari Sciences Po atau Paris Institute of Political Studies dari Paris, Perancis.
Muhammad Syafiq berkata berjaya mara sehingga ke pentas akhir dalam kejohanan debat bahasa Arab paling berprestij itu sebenarnya sudah melakar satu kejayaan besar buat USIM dan Malaysia kerana saingannya amat hebat.

"Kami berjaya mengekalkan momentum persembahan dan fokus terbaik pada setiap perlawanan dari peringkat awal sehingga akhir.

"Tekanan itu memang ada tetapi kami dapat mengawalnya hasil latihan intensif individu dan berkumpulan, pembacaan, perlawanan debat persahabatan dan pengalaman menyertai pertandingan debat sebelum ini.

"Ini kejayaan yang manis bagi kami dan jurulatih, Ahmad Norsyafwan Norwavi yang turut bersama-sama kami di sini kerana berjaya menggalas kepercayaan yang diberikan.

"Terima kasih kepada Timbalan Naib Canselor USIM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Bahagian Hal Ehwal Pelajar Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan rakan-rakan Kelab Debat USIM atas doa dan sokongan yang diberikan kepada kami," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nur Akma pula disenaraikan di ranking kedua pendebat terbaik kesuruhan IUADC 2017.

Kejayaan di Doha, merupakan kejayaan kedua diraih pasukan debat Bahasa Arab USIM di peringkat antarabangsa pada tahun ini selepas dinobatkan sebagai juara Debat Bahasa Arab Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi ASEAN di Kampus USIM di sini awal bulan ini.

Sebagai naib juara, pendebat USIM menerima hadiah berupa piala dan sijil penghargaan dari penganjur iaitu Qatar Debate.

Manakala pendebat Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diwakili oleh Abdul Rahim Ellias, Mohamad Ikmal Hakimi Mohamad Helni, Muhammad Nazri Rostam dan Muhammad Nurfirman Mohamed turut membanggakan negara dengan muncul naib johan dalam kategori terbuka.

IUADC yang diadakan secara dwitahunan memasuki edisi keempat sejak mula dianjurkan pada 2011.

Pertandingan yang bermula sejak 8 April lepas dan berakhir semalam dengan 86 buah pasukan dari 46 buah negara menyertai IUADC edisi kali ini yang berlangsung di Qatar National Convention Center.

— BERNAMA

Sumber: Astro Awani

Share: