Share:

SUNGAI PETANI: Kerajaan Kedah akan mengemukakan usul kepada kerajaan Persekutuan berkaitan pemasangan 'child seat' atau kerusi khas kanak-kanak dalam kenderaan, bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya berhubung perkara berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Pembangunan Insan negeri, Azman Nasrudin, berkata beliau melihat tahap kesedaran masyarakat mengenai pentingnya pemasangan 'child seat' masih rendah dan ia boleh mengundang risiko kecederaan atau kematian apabila berlaku kemalangan.

"Kita akan cuba usulkan cadangan yang boleh dilaksanakan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, antaranya perbincangan antara kerajaan Persekutuan dan pengeluar kerusi kanak-kanak ini agar harganya dijual pada tahap mampu milik tanpa mengabaikan aspek kualiti.

"Keduanya, aspek kempen kesedaran perlu diperbanyak dan dipelbagaikan agar masyarakat mendapat informasi mengenai cara pemasangan 'child seat' yang betul," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri Peringkat Kedah 2018 di Plaza Tol Plus Sungai Petani (Selatan), di sini, pada Ahad.

Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah, Chan Pei Hong dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismasuhaimi Shariff serta wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi lain yang berkaitan.

Sementara itu, Pei Hong berkata masih ramai ibu bapa yang tidak mengetahui cara pemasangan kerusi khas kanak-kanak itu dengan betul, sehingga mengundang kecederaan atau kematian terhadap bayi atau kanak-kanak.

"Pemasangan kerusi kanak-kanak ini digalakkan untuk bayi atau kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah, dan pemasangan 'child booster seat' bagi kanak-kanak berusia empat hingga tujuh tahun.

"Namun pemasangan yang salah boleh menyebabkan mereka tersepit dengan beg udara atau tercampak, seterusnya mengakibatkan anggota badan patah atau cedera.

"Sedikit hentakan khususnya membabitkan bahagian kepala, boleh membawa maut apabila pemandu menekan brek kecemasan, walaupun kenderaan dipandu pada kelajuan 20 atau 30 kilometer/jam," katanya.

Dalam pada itu, kempen bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ itu diharap akan dapat memupuk dan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya untuk mengutamakan keselamatan khususnya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pada majlis sama, 50 topi keledar baharu ditukarkan dengan topi keledar milik penunggang motosikal, yang tidak mematuhi piawaian keselamatan, selain pengagihan sejumlah 300 beg cenderahati kepada pengguna jalan raya. — Bernama

Sumber: Astro Awani

Share: