Share:

NAMA Pinda Rika Dorji, 21, sudah sinonim dalam bualan peminat sukan elektronik (e-Sukan) Defense of the Ancients 2 (Dota 2) tempatan dan juga seluruh Asia Tenggara.

Berasal dari sebuah negara yang mempunyai negatif karbon paling tinggi di dunia iaitu Bhutan, Pinda mula berjinak dengan Dota 2 sejak empat tahun lepas.

Di sebalik kepetahan dan kelucuannya yang ditonjolkan di dalam video-video yang dimuat naik di Facebook dan YouTube, Pinda juga menjadi sebutan komuniti Dota 2 dek kerana bakat dan kemahiran permainannya, menerusi nama gelaran pindaPanda.
Ketika bekerja di sebuah firma pembinaan selepas bergelar graduan Ijazah Pengurusan Pembinaan di sebuah institusi swasta di Kuala Lumpur, Pinda mencuba nasib untuk menjadi sebahagian daripada 'ahli keluarga' saluran e-Sukan pertama di Asia Tenggara, Astro eGG Network.

Walaupun sudah diterima untuk menjadi pengacara saluran tersebut pada tahun lalu, Pinda tidak pernah lokek untuk terus memuat naik video-video parodi, tutorial dan juga video penstriman langsung yang berkaitan dengan Dota 2 bagi menghiburkan 284,773 peminatnya di Facebook ketika ini.

Pinda seolah-olah tahu apa yang diinginkan peminat, apabila ada kala video yang dimuat naik olehnya mencapai lebih 3.4 juta tontonan.

Pinda Rika Dorji (kiri sekali) bersama peminatnya selepas tayangan ulung #pindaPandaShow pada petang Selasa, 2 Mei 2017 di Cafe Cathmandu, Jalan Tengkat Tong Shin, Kuala Lumpur. - Foto Astro AWANI/MARIAH AHMAD

Kini, Pinda "meluaskan empayarnya" dengan rancangannya tersendiri menerusi #pindaPandashow yang akan bersiaran setiap Rabu jam 9 malam, yang boleh ditonton di Astro on the Go atau saluran Astro 808.

Dengan enam episod yang akan ditayangkan, rancangan ini bakal menceritakan perjalanan Pinda sebagai seorang pemain sukan elektronik dan cabarannya untuk terus kekal positif dalam industri ini.

Pinda juga akan membawa peminat untuk meneroka keindahan dan ketenangan Bhutan menerusi rancangan ini.

Sumber: Astro Awani

Share: