Share:

MUNGKIN ada yang masih mengingati dan mengenali kisah lelaki berbangsa Melayu yang fasih berbahasa Korea ini.

Muhamad Khalid Ismail pernah menjadi buah mulut di internet awal tahun ini kerana kefasihannya menggunakan bahasa Korea ketika muncul dalam rancangan televisyen Korea Selatan, Abnormal Summit.

Siapa sangka, jodoh Khalid juga dari negara 'Winter Sonata' itu.

Khalid bertemu jodoh dengan seorang gadis bernama Lee Seul dari Suwon, Gyeonggi dan mereka berkahwin pada Ahad lalu.

Majlis akad nikah ringkas telah diadakan pasangan itu di Masjid Pusat Itaewon dan disempurnakan oleh Imam masjid berkenaan, Syeikh Abdul Rahman Lee Juhwa.
Berita gembira itu dikongsi Khalid di laman Facebook miliknya.

Kata Khalid, isterinya tetap menggunakan nama asalnya walaupun sudah memeluk Islam 1 April lalu.

Ini kerana nama berkenaan tidak membawa sebarang maksud yang tidak baik, selain menghormati nama keluarga isterinya.

Khalid juga memaklumkan, isterinya itu masih dalam proses mengenali dan memahami Islam.

"Andai kata ada masa beliau tidak memakai tudung, ataupun berkelakuan agak tidak kena dengan Islam, diharap tidak terus menghukumnya.

"InsyaAllah beliau akan perlahan-lahan berubah ke arah kebaikan, tulis Khalid di Facebook.

Agak menggelikan hati apabila Khalid memberitahu, dia tidak lokek untuk mendedahkan rahsia memikat hati wanita Korea yang akan dikongsi dalam entri seterusnya.

Malah, Khalid yang berasal dari Kelantan juga menggunakan hashtag #buduuntukawak di laman sosial.

Khalid ketika muncul dalam rancangan Abnormal Summit yang disiarkan di saluran JTBC.

Majlis resepsi akan berlangsung di kampung halaman isterinya, 14 Oktober depan.

Manakala majlis di tanah air akan diatur selepas Khalid pulang ke Malaysia, tahun hadapan.

Khalid menjadi sebutan ramai ketika muncul sebagai salah seorang panel dalam rancangan Abnormal Summit yang disiarkan di saluran JTBC.

Dalam rancangan itu, Khalid rancak bercerita tentang kelebihan dan tarikan yang terdapat di Malaysia, dalam bahasa Korea.

Sumber: Astro Awani

Share: