Share:

WASHINGTON – Donald Trump mengakui rindu untuk memandu sendiri, berasa seakan berada di dalam kepompong dan terkejut dengan tugas yang sangat berat ketika menyambut 100 hari memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS).

“Saya suka kehidupan saya sebelum ini. Saya melalui banyak perkara. Jawatan ini memerlukan saya bekerja lebih banyak berbanding kehidupan sebelum ini. Saya mulanya menyangka mudah bertugas sebagai Pre­siden,” kata Trump kepada Reuters dalam satu temu bual eksklusif.

Trump yang merupakan bilionair hartanah dari New York memulakan tugas di White House pada 20 Januari lalu selepas menewaskan bekas Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton.

Setelah lebih lima bulan kemenangannya dan dua hari selepas pemerintahannya mencecah usia 100 hari, pilihan raya itu masih dalam fikirannya.

Ketika satu perbinca­ngan tentang Presiden China, Xi Jinping, Pre­siden itu berhenti seketika untuk mengagihkan salinan angka terkini peta pilihan raya 2016.

“Kamu boleh ambil ini, ia peta terkini. Sangat bagus, bukan? Warna merah itu adalah kami,” kata Presiden daripada Parti Republikan itu di meja­nya di Oval Office ketika me­nunjukkan peta AS dengan kawasan-kawasan yang dimenanginya ditanda­ de­ngan warna merah.

Beliau mengagihkan salinan itu kepada ketiga-tiga pemberita Reuters di dalam bilik berkenaan.

Trump berkata, meski­pun beliau telah biasa tidak mempunyai privasi dalam ‘kehidupan lalu’ tetapi terkejut dengan begitu sedikit privasi yang beliau miliki sekarang.

Beliau juga menjelaskan masih mendapatkan perlindungan 24 jam daripada agensi Perkhidmatan Rahsia dan keadaan itu menyebabkan beliau berada terkepung.

“Kamu seakan berada dalam kepompong kecil kerana mempunyai perlindungan yang sangat besar dan tidak boleh ke mana-mana sesuka hati,” tambahnya.

Ketika Presiden itu me­ninggalkan White House, beliau biasanya menaiki sebuah limousin atau kende­raan utiliti sukan (SUV). Kata Trump, ­beliau rindu untuk memandu sendiri.

“Saya suka memandu, tetapi saya tidak boleh memandu lagi,” katanya. – Reuters

Sumber: Kosmo! Online

Share: