Share:

WASHINGTON – Ketegangan berkaitan isu perdagangan antara Washington dan Ottawa memuncak kelmarin selepas Presiden Donald Trump menuduh Kanada bersikap ‘mat kasar’ terhadap Amerika Syarikat (AS).

Beliau mengugut untuk bertindak balas terhadap sekatan produk tenusu AS.

Trump juga menyokong keputusan mengejut pentadbirannya lewat Isnin lepas untuk mengenakan tarif baharu terhadap balak Kanada sekali gus menyalakan semula konflik perdagangan lama dengan Ottawa.

“Orang ramai tidak sedar bahawa Kanada amat kasar terhadap AS.

“Semua orang menyangka Kanada bersikap baik tetapi mereka memperdayakan ahli politik kita bertahun-tahun lamanya,” kata Trump semasa menemui kumpulan petani AS di White House.

Beliau berkata, Kanada menjejaskan penternak lembu tenusu dari negeri Wisconsin hinggalah ke New York dengan menyekat eksport produk tenusu AS.

“Kita tidak dapat lagi membiarkan sahaja perkara ini,” tegas Trump.

Kenyataan agresif itu menyusuli komen serupa Trump di Twitter beberapa jam selepas Jabatan Perdagangan AS mengumumkan bahawa pihaknya menguatkuasakan tarif hingga 24 peratus ke atas kayu lembut yang diimport dari Kanada.

Kanada mengimport produk tenusu berjumlah lebih AS$550 juta (RM2.3 bilion) dari AS.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berjanji akan bertegas dengan AS berhubung isu perdagangan bagi melindungi kepentingan Kanada. – AFP

Sumber: Kosmo! Online

Share: