Share:

VIENNA: Austria berdepan perdebatan hebat apabila satu kajian mencadangkan bahawa tadika Islam di sini membantu mewujudkan “masyarakat selari” atau menghasilkan radikal tempatan berbahaya pada masa hadapan.

Menurut pengarangnya, seorang profesor Universiti Vienna, Austria kelahiran Turki, Ednan Aslan, kira-kira 10,000 kanak-kanak berumur antara dua hingga enam tahun menghadiri sekitar 150 prasekolah Muslim, yang mengajar al-Quran sama seperti penganut Kristian.

Sekurang-kurangnya satu perempat daripadanya disokong oleh kumpulan Islam konservatif seperti Salafisme, atau pertubuhan yang melihat agama bukan sekadar sebagai satu perkara peribadi tetapi juga penting kepada politik dan masyarakat, jelas Aslan.

Kajian yang diterbitkan tahun lalu itu disalahertikan pengkritik imigresen tidak kurang juga sayap kanan Parti Kebebasan susulan serangan di Paris dan Brussels yang dilakukan orang Islam yang dibesarkan di Eropah.

Namun ramai menolak penemuan Aslan dan mempersoalkan metodologi beliau.

Austria, sebuah negara dengan kira-kira 8.7 juta penduduk, menerima lebih daripada 130,000 permohonan suaka sejak 2015 berikutan bermulanya krisis penghijrahan terbesar di Kesatuan Eropah sejak Perang Dunia Ke-2. – AFP

Sumber: Berita Harian

Share: